Your Eyecare And Contact Lens Specialist

Search This Blog

Monday, May 16, 2011

Rawatan awal perlu






Pembetulan masalah penglihatan perlu dilakukan sebelum kanak-kanak berumur lapan tahun supaya sistem penglihatan berkembang dengan normal.

MATA ialah organ deria yang membolehkan manusia melihat dan menikmati keindahan alam. Kebolehan untuk melihat pula merupakan suatu proses yang agak kompleks yang terdiri daripada beberapa peringkat dalam 'Proses Penglihatan'.
Proses ini bermula dari rangsangan fizikal yang sampai ke mata hinggalah akhirnya imej yang dilihat diterjemahkan oleh otak.
Namun tahukah kita bahawa 90 peratus daripada masalah mata adalah masalah gangguan fungsi penglihatan manakala 10 peratus lagi adalah disebabkan oleh penyakit mata.
Bagi kanak-kanak, pengesanan masalah gangguan fungsi penglihatan cukup penting kerana pada ketika inilah sistem penglihatan sedang berkembang dan sebarang gangguan akan menimbulkan masalah lain yang lebih serius.
Rawatan awal dan komitmen ibu bapa penting bagi membolehkan kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan berupaya melihat kembali dengan baik dan jelas.
Pensyarah Kanan Jabatan Optometris, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Rokiah Omar berkata, perkara ini penting bagi mengawal keadaan menjadi lebih serius.
Katanya, bagi memastikan seseorang itu mempunyai bacaan optimum, mereka semestinya mempunyai tahap penglihatan 6/6 pada kedua-dua belah mata mereka.
''Kanak-kanak yang mempunyai tahap penglihatan 6/9 atau kurang dikategorikan sebagai mempunyai masalah penglihatan.
''Manakala mereka yang mempunyai tahap penglihatan kurang dari 6/18 pula dikategorikan sebagai penglihatan yang terhad,'' katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelas Rokiah, kanak-kanak bermasalah penglihatan biasanya sukar atau tidak dapat melakukan tugasan seperti membaca atau menulis tanpa menggunakan alat bantuan khas.
Oleh itu tegasnya, mereka ini memerlukan alat bantuan yang boleh memperbaiki tahap penglihatan mereka, contohnya, melalui cermin mata, teleskop, cermin mata berkuasa tinggi, kanta pembesar berdiri, dirian membaca, cetakan besar dan juga visor.
Jelasnya lagi , penyakit kongenital dan keturunan merupakan penyebab utama berlaku penglihatan terhad.
Malah sekiranya seseorang bayi mendapat katarak kerana jangkitan kuman ketika dalam kandungan, ia akan menghalang cahaya dari terfokus ke retina dan sistem penglihatan bayi tidak akan berkembang atau mencapai ketajaman penglihatannya tahap 6/6 menjelang umur empat tahun.
Perkembangan ketajaman penglihatan yang tidak mencapai tahap 6/6 dinamakan "amblyopia" atau mata malas.
''Keadaan ini terjadi di mana ketajaman penglihatan tidak mencapai tahap 6/6 dengan preskripsi cermin mata terbaik tanpa ada sebab-sebab patologi lain.
"Kecacatan refraksi menjadikan kanak-kanak rabun dan penyebab utama berlakunyaamblyopia. Ini terjadi kerana pembiasan cahaya pada mata kanak-kanak yang rabun tidak terfokus pada retina dan seterusnya tidak merangsang perkembangan sistem penglihatan.
"Justeru itu, pembetulan kerabunan perlu dibuat secepat mungkin agar amblyopia tidak berlaku,'' jelasnya.
Selain itu, menurut Dr. Rokiah, kejulingan juga menjadi faktor penting terjadinya mata malas. Kejulingan menyebabkan paksi penglihatan berubah dan cahaya tidak terfokus pada foveaiaitu titik peka pada retina dan boleh juga menyebabkan amblyopia.
Pembetulan masalah penglihatan perlu dilakukan sebelum kanak-kanak berumur lapan tahun supaya sistem penglihatan berkembang dengan normal.
Bagi kanak-kanak yang kelihatan normal pada mata kasar, pemeriksaan pertama terhadap kesihatan mata harus dilakukan ketika berumur empat tahun.
''Ujian menyeluruh terhadap mata juga perlu dilakukan bagi menilai tahap kesihatan mata,'' katanya serius.
Malah akuinya, ramai antara kita tidak mengetahui bahawa kejulingan pada kanak-kanak boleh terjadi akibat rabun terutamanya kerabunan yang berlaku sebelum kanak-kanak berumur empat tahun.
Jelasnya, tahap kerabunan antara kedua-dua mata tidak sama, mata yang lebih rabun berkemungkinan besar akan juling. Ini kerana imej kabur dari mata tersebut tidak akan ditafsirkan oleh otak dan akibatnya mata tersebut tidak akan menumpu pada objek yang hendak dilihat.
Sistem penglihatan pada mata yang lebih rabun itu tidak akan berkembang dan akan menjadiamblyopia sekiranya tidak dibetulkan dari awal. Selalunya rabun jauh pada kanak-kanak akan menyebabkan juling keluar (exotropia) manakala rabun dekat akan menyebabkan juling ke dalam (esotropia).
Dalam pada itu, katanya, terdapat satu kajian membuktikan bahawa penyebab utama penglihatan terhad di kalangan rakyat Malaysia ialah kesalahan refaktif yang tidak diperbetulkan dan katarak
Tegasnya, tahap penglihatan dekat kanak-kanak dapat diperbaiki dengan menggunakan kanta pembesar, cermin mata berkuasa tinggi, cermin mata dekat dan bifokal.
''Ini semua akan membolehkan kanak-kanak tersebut membaca dengan kadar yang yang lebih pantas dan akan dapat membantu mengurangkan masalah yang dihadapi.
''Pemeriksaan penglihatan yang lengkap juga mampu mengurangkan masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak berpenglihatan terhad untuk melakukan tugas harian mereka,'' katanya.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, optometris di Malaysia dapat memainkan peranan yang lebih positif untuk membantu menangani masalah gangguan penglihatan di kalangan kanak-kanak.
Analisis kajian juga menunjukkan bahawa kanak-kanak berpenglihatan terhad lebih suka menggunakan kanta pembesar untuk kerja dekat berbanding cermin mata berkuasa tinggi.
Selain itu, keputusan kajian juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai masalah penglihatan memerlukan lebih daripada satu alat bantuan untuk membantu mereka dalam tugasan sebagai pelajar.
''Ini adalah kerana setiap alat yang dicadangkan hanya sesuai untuk tugasan tertentu sahaja, contohnya, semasa membaca mereka memerlukan kanta berbanding semasa membuat aktiviti lain yang memerlukan mereka menggunakan alat bantuan yang lain,'' ujarnya.
Selain itu, katanya lagi, alat bukan optikal juga boleh membantu kanak-kanak yang mempunyai masalah penglihatan mengatasi masalah ketika membaca antaranya melalui kaedah pembesaran relatif magnifikasi.
Oleh itu, tegasnya, pengesanan awal mengenai masalah penglihatan di kalangan anak-anak adalah penting

(Sumber Harian Metro)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...